Rabu, 12 Disember 2012

Latar Belakang SK Lembah Jaya




Mengikut rekod asal, Sekolah Kebangsaan Lembah Jaya mula dibina pada 15 Februari 2002 di kawasan seluas 4 hektar di Kampung Lembah Dener. Nama Sekolah Kebangsaan Lembah Jaya telah diinspirasikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Setiu pada waktu itu iaitu Tuan Haji Romeli bin Ismail yang ingin melihat  kecemerlangan pendidikan berterusan di daerah ini.

          Nama sekolah ini dicipta sebagai merealisasikan aspirasi beliau untuk menjadikan Setiu sebagai daerah nombor satu di Malaysia dalam bidang pendidikan. Sekolah ini memulakan sesi persekolahannya pada 4 Januari 2004. Sekolah ini mengorak langkah pertama dengan 6 buah kelas iaitu dari tahun satu hingga tahun enam. Seramai 189 orang murid, 15 orang guru serta 3 orang kakitangan sokongan merupakan warga sulung sekolah ini.

Guru Besar pertama yang diberi mandat untuk menerajui tampuk kepimpinan Sekolah Kebangsaan Lembah Jaya ialah En. Mohd Tarmizi bin Haji Selamat. Manakala, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang pertama dilantik sebaik sekolah ini beroperasi  ialah En. Samion bin Salleh, merangkap Penolong Pegawai Daerah Setiu. Pembukaan  sesi  persekolahan  dirasmikan dengan  kehadiran  Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Jabatan Sekolah)  iaitu Yang Berbahagia Dato’ Haji Kusaini Bin Haji Hasbullah.